Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera buat semua...
HILANGNYA SEBUTIR PERMATA UMMAH
di Masjid Khalifah Jalan Pusara, Kuala Terengganu
إِنَّا للهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ له وَارْحَمْه وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْه، وَأَكْرِمْ نُزُلَه، وَوَسِّعْ مَدْخَلَه وَاغْسِلْه بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّه مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ اْلأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْه دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِه وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْله وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِه وَأَدْخِلْه
الْجَنَّةَ، وَأَعِذْه مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَعَذَابِ النَّار
اللَّهُمَّ اجْعَلْ قَبْرَهُ رَوضَةً مِن رِيَاضِ الجَنَّةِ...وَلاَ تَجْعَلْ قَبْرَهُ حُفْرَةً مِن حُفَرِ النِّيرَانِ
إستجب اللهم دعائنا يا الله
امين يا رب العالمين
Agak terkejut menerima khabar duka pemergian Pengarah Urusan Sabasun HYPErRUNCIT Sdn Bhd, Almarhum Che Salmi bin Che Ibrahim (Abg Mie, saudaraku sebelah ibuku).
Hari ini, tanggal 4 Jun 2024, jam 4.45 pagi beliau dikhabarkan telah menghembuskan nafas terakhir di KPJ Ampang Puteri, Kuala Lumpur. Semoga roh Almarhum di tempatkan dalam kalangan hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh...😢😢😢
Patutlah hati terasa ingin sangat berjumpa dengannya semasa balik kampung tempohari. Tak terluah pula dengan bonda dan abangku yang di Kuala Terengganu tentang hasrat hati untuk berjumpanya, kerana semenjak Almarhum membesarkan kedai runcit Sabasun kepada HYPErRUNCIT tidak pernah bertemu lagi. Sekembali belajar di Amerika, Almarhum berkhidmat sebagai Pensyarah Bahasa Inggeris di KUSZA dan sempat juga belajar dengannya. Seorang pensyarah yang cukup digemari oleh para pelajar. Sebaik sahaja Almarhum ayahandanya pencen, Almarhum telah berhenti daripada menjadi pensyarah dan telah memulakan perniagaan kedai runcit secara kecil-kecilan dalam tiga hingga empat tahun jika tidak silap. Saya masih ingat Almarhumah ibunya, yang saya dan keluarga memanggilnya dengan nama Suleha telah bertindak menjadi 'cashier' (ibunya, seorang berketurunan thionghua) dan pekerja-pekerjanya pada peringkat awal terdiri daripada semua ahli keluarga dan sanak saudaranya. Pemilik HYPErRUNCIT yang digeruni kerana berjaya menyaingi pasaraya-pasaraya dan hypermarket di sekitar Kuala Terengganu dari kalangan bangsa lain. Memang 'salute' dengan kegigihan Almarhum dan keluarga. Semoga segala sumbangan dan khidmat yang Almarhum telah beri dan curahkan ke jalan Allah mendapat balasan yang setimpal dari Allah SWT bak air sungai yang mengalir tanpa henti...Aamiin...Allahumma Aamiin.
Selamat jalan PERMATA UMMAH...Semoga berbahagia di negeri akhirat sana di samping para syuhada', siddiqin dan solihin...
Pengarah Urusan SABASUN HYPErRUNCIT Sdn Bhd ini, Almarhum Che Salmi Che Ibrahim telah meninggal dunia di Hospital KPJ Ampang Puteri, Kuala Lumpur awal pagi Selasa 4 Jun 2024 pada jam 4.45 pagi dalam usia 56 tahun. Almarhum meninggal dunia disebabkan menghidapi penyakit kanser dan ia telah disahkan oleh doktor sejak tiga bulan yang lalu. Sehingga kematiannya, difahamkan doktor masih belum dapat mengenal pasti lagi jenis kanser tersebbut kerana ia masih dalam peringkat kajian.
Jenazah Allahyarham telah dibawa ke Masjid Khalifah Taman Jaya, Jalan Pusara, Kuala Terengganu untuk solat jenazah selepas solat Asar dan Almarhum telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kecil berhampiran dengan SABASUN HYPErRUNCIT.
Syarikat Sabasun yang ditubuhkan pada 2 April 1995 di Terengganu itu mempunyai seramai 450 pekerja kesemuanya terdiri dalam kalangan warga tempatan selain menjual 350 barangan syarikat Perusahaan Mikro Kecil Sederhana (PMKS) dan membekalkan 3,500 jenis barangan yang menjana pendapatan RM3 juta sebulan untuk barangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Syarikat tersebut telah mempunyai enam cawangan iaitu di Bukit Kecil, Kuala Terengganu; Wakaf Tembesu di Kuala Nerus; Kijal, Ajil dan Cheneh di Kemaman serta sebuah cawangan di luar Terengganu iaitu di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Banyak berita berkaitan perginya Almarhum Che Salmi bin Che Ibrahim, Pengarah Urusan SABASUN HYPErRUNCIT yang menjadikan perniagaan sebagai wadah untuk berdakwah dan berjuang di dalam membela agama Islam, boleh klik pada link yang diberikan di bawah. Insan yang gemar melakukan sesuatu yang lain dari yang lain. Antara ciri mereka yang hebat di dalam bidang masing-masing.
https://harakahdaily.net/index.php/2024/06/04/pemilik-sabasun-che-salmi-che-ibrahim-meninggal-dunia/
https://harapandaily.com/2024/06/04/pengasas-pemilik-sabasun-meninggal-dunia-hilang-sebutir-permata/
#sabasunhyperruncit
#sabasun
#sabarsungguh
#almarhumchesalmi
#pelangganadalahmajikankita
#hargamurohsokmo