HADIS 40| HADIS 1 - NIAT DAN KEPENTINGANNYA

 Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera buat semua...



HADIS PERTAMA

عَنْ أَمِيْرِ الْمُؤْمِنِيْنَ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ: إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى. فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِه فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ
[رواه إماما المحدثين أبو عبد الله محمد بن إسماعيل بن إبراهيم بن المغيرة بن بردزبة البخاري وأبو الحسين مسلم بن الحجاج بن مسلم القشيري النيسابوري في صحيحيهما اللذين هما أصح الكتب المصنفة]

PENGERTIAN HADIS

Dari Amirul Mukminin Abu Hafsh, Umar bin Al-Khattab RA, ia berkata : 
“ Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “ Segala amal itu bergantung pada niatnya dan setiap orang hanya mendapatkan apa yang diniatkannya. Maka barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan RasulNya. Barang siapa yang hijrahnya itu kerana kesenangan dunia atau kerana seorang wanita yang akan dikawininya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang ditujunya.” [Riwayat Bukhari dan Muslim]

"Actions are (judged) by motives (niyyah), so each man will have what he intended. Thus, he whose migration (hijrah) was to Allah and His Messenger, his migration is to Allah and His Messenger; but he whose migration was for some worldly thing he might gain, or for a wife he might marry, his migration is to that for which he migrated."  [Al-Bukhari & Muslim]

(Riwayat dua Imam hadis, Abu Abdullah Muhammad bin Isma’il bin Ibrahim bin Al-Mughirah bin Bardizbah Al-Bukhari dan Abu Al-Husain, Muslim bin Al-Hajjaj bin Muslim Al-Qusyairi              An- Naisaaburi di dalam dua kitab Shahih, yang merupakan kitab yang paling shahih yang pernah dikarang)

Definisi Niat

Niat menurut bahasa adalah mengarah diri kepada sesuatu perbuatan. [Al-Mu’jam Al-Wasith, 1021] Manakala menurut dewan bahasa dan pustaka pula, niat adalah maksud atau tujuan sesuatu perbuatan. [Kamus Dewan Edisi Keempat, 1080]
Menurut Istilah pula, terdapat beberapa definisi yang diberikan:Telah berkata Imam al-Nawawi:

النِّيَّةُ عَزْمُ الْقَلْبِ عَلَى عَمَلِ فَرْضٍ أَوْ غَيْرِهِ

Maksudnya: “Niat adalah keazaman (tekad) di dalam hati di atas setiap perkara yang fardhu dan selain daripadanya (wajib)”. [Al-Majmu’, 310/1]

Telah berkata Ibnu Abidin:

قَصْدُ الطَّاعَةِ وَالتَّقَرُّبِ إلَى اللَّهِ تَعَالَى فِي إيجَاد الْفِعْلِ

Maksudnya: “Niat adalah tujuan melakukan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan perbuatan”. [Rad Al-Mukhtar, 105/1]

Kesimpulannya, niat adalah lintasan hati dalam ketika ingin melakukan sesuatu perkara. 
(Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

Kita konklusikan maksud niat sebagaimana di bawah:

  • Menurut bahasa ialah tujuan hati atau kehendak hati. 
  • Manakala menurut istilah syarak ialah gerak hati ke arah sesuatu pekerjaan untuk mencari keredaan Allah dan menyatakan tunduk dan patuh kepada perintah Allah. Justeru itu, setiap amal mesti disertai dengan niat hanya untuk Allah SWT.


INTISARI HADIS

1.    Sebahagian dari ulama ada mengatakan bahawa hadis tentang niat ini merangkumi satu pertiga daripada Islam. Ini menunjukkan betapa pentingnya niat dalam kehidupan seharian terutamanya ketika melakukan ibadah kepada Allah. Oleh kerana kepentingannya, kebanyakan para ahlul hadis yang mengarang kitab-kitab hadis akan memulai kitab mereka dengan hadis ini.

2.    Niat merupakan syarat layak, diterima atau tidak sesuatu amal perbuatan, dan amal ibadah tidak akan menghasilkankan pahala kecuali berdasarkan niat (kerana Allah SWT).

3.    Waktu pelaksanaan niat dilakukan adalah pada awal ibadah dan tempat letaknya di hati.

4.    Perlu ikhlas dan bebaskan niat semata-mata karena Allah SWT, ia adalah  sesuatu yang sangat dituntut pada semua perbuatan amal soleh dan ibadah yang dilakuka oleh seorang muslim.

5.    Seseorang mukmin akan diberi ganjaran pahala berdasarkan kadar niatnya. Semua perbuatan yang bermanfaat dan mubah (boleh) jika diiringi dengan niat karena mencari keredaan Allah SWT maka dia akan dinilai sebagai ibadah. Apa yang membezakan antara ibadah dan adat (kebiasaan atau rutin) adalah niat.

3.   Diceritakan juga bahawa seorang lelaki badawi daripada satu kabilah telah meminang seorang perempuan bernama Ummi Qais. Ummi Qais enggan menerima lamarannya kecuali lelaki itu berhijrah. Oleh kerana lelaki itu ingin mengahwini Ummi Qais, maka dia pun turut berhijrah. Lalu, dia mengahwini perempuan tersebut. 
Kesimpulannya jika sesiapa yang berhijrah kerana menuntut sesuatu perkara, maka dia akan mendapat perkara itu sahaja.

Hadis di atas menunjukkan bahwa niat merupakan bahagian dari iman karena ia merupakan pekerjaan hati, dan iman menurut pemahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah membenarkan dalam hati, diucapkan dengan lisan dan diamalkan dengan perbuatan. Semestinya niat itu mesti jelas.

KEPENTINGAN NIAT

Niat adalah sebab untuk mewujudkan atau melahirkan amal. Jika amalan yang dilakukan adalah niat kerana Allah, maka kita akan mendapat pahala. Namun, jika niat selain daripada itu, segala amalan kita menjadi sia-sia.

Amal yang memerlukan kepada niat ialah segala amal atau perbuatan yang disyariatkan oleh agama. Dalam syariat Islam, terdapat amal-amal yang diwajibkan ke atas setiap mukallaf, ada yang disunatkan dan ada yang diharuskan. Jadi dengan niat, ia dapat membezakan antara amal-amal tersebut. Dalam kehidupan harian seorang mukmin, amal-amal yang dilakukan adalah untuk meraih reda Allah SWT sama ada ibadat khusus atau ibadat umum. Dalam amal ibadah terdapat ibadat fardhu atau wajib dan ibadat sunat. Sebagai contoh mandi kerana mengangkat hadas dan mandi kerana kebiasaan. Perbuatan mandi itu sama tetapi apa yang membezakan antara keduanya adalah niat.

RUMUSAN

Allah SWT tidak menilai sekadar yang zahir sahaja namun Dia menilai apa yang tersirat di dalam hati seseorang hambaNya. Niat di hati itu adalah kerana Allah SWT. Setiap amalan yang dilakukan mestilah menepati syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Sebagaimana Sabda Rasulullah:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ ، وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ

Ertinya: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa bentuk kamu dan harta kamu, tetapi Allah melihat kepada hati-hati kamu dan amalan kamu” (Riwayat Muslim)


Demikian serba sedikit perkongsian daripada Cikgu WanN berkaitan dengan Hadis 40 yang pertama oleh Al-Imam An-Nawawi Rahimahullah. Semoga mendapat manafaat dari perkongsian ini.

Terima Kasih Daun Keladi...
Kerana Sudi Bertandang Ke sini...

Zhai Jian! :D

Previous Post Next Post