DOA MUNAJAT | MEMBISIK RASA MERUNTUN NURANI MERAIH MARDHOTILLAH PADA 10 TERAKHIR RAMADAN

 Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera buat semua...

Malam ini bermulalah fasa 10 malam terakhir Ramadan, yang terdapat di dalamnya satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan yang lain iaitu Lailatul Qadar. 
Marilah sama-sama kita berlumba-lumba untuk menambahkan pahala amal ibadah kita semua  
ke Hadrat Allah SWT dengan bersungguh-sungguh.





Di antara amalan yang digalakkan pada 10 hari terakhir Ramadan adalah seperti berikut:
-    Melakukan qiamullail
-    Membaca Al-Quran
-    Memperbanyakkan zikrullah
-    Bermunajat dan berdoa untuk mendambakan maghfirullah dan mardhotillah

Daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ ، أَحْيَا اللَّيْلَ ، وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ ، وَجَدَّ وَشَدَّ الْمِئْزَرَ

Maksudnya: 
“Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh akhir (Ramadan), Baginda SAW akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya dan memperketatkan kain sarungnya (menjauhi daripada melakukan hubungan seksual dengan isteri-isterinya)”.
(Riwayat Muslim: 2015)

Daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ” يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ

Maksudnya: 
“Adalah Rasulullah SAW berusaha bersungguh-sungguh (beribadah) pada sepuluh akhir 
(Ramadan) melebihi kesungguhannya pada bulan-bulan yang lain”
 (Riwayat Ahmad)

Justeru itu...Ayuh! Berusahalah kita memburu maghfirah dan meraih mardhotillah....melalui pintu-pintu kebaikan di bulan Ramadan ini.
Pintu kebaikan yang Allah SWT sediakan di bulan Ramadan ini adalah sebagaiamana pesan Rasulullah SAW kepada Muaz bin Jabal RA. Sabda Rasulullah SAW :

“Aku akan memberitahu kepada kepadamu pintu-pintu kebaikan iaitu; puasa adalah perisai, sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api, dan seorang hamba bangun (qiamullail) di malam hari.” (Musnad Ahmad: 21628)

Jelas terbukti bahawa sesungguhnya malam Lailatul Qadar itu cukup mulia sehingga ia melebihi 1000 bulan. Oleh itu hendaklah kita lakukan amalan ibadat dengan bersungguh-sungguh tanpa sebarang pengabaian.


Di bawah ini Cikgu WanN  sertakan doa di dalam Bahasa Melayu untuk sama-sama kita mohon kepada Allah SWT agar segala amal ibadah dan kebajikan yang kita telah lakukan di terima oleh Allah SWT. 

Doa ini Cikgu WanN adaptasi daripada seorang pengguna medsos yang telah kongsikan untuk semua yang menemuinya. Semoga jariah ini akan sampai buat penulis asal doa ini. 


⭐️⭐️⭐️⭐️⭐️⭐️⭐️⭐️⭐️⭐️⭐️⭐️⭐️⭐️⭐️⭐️⭐️⭐️

بسم الله الرحمن الرحيم 

الحمد لله رب العلمين… حمدا حمدين حمدا شكرين حمدا يوافى نعمه ويكافىء   مزيده. يا ربنا لك الحمد كما ينبغي لجلال وجهك  وعظيم سلطانك 
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى ال سيدنا محمد وعلى اله وصحبه اجمعين 

Ya Allah…Ya Rahman…Ya Rahim…
Dalam dakapan Ramadan yang suci ini, dengan rasa rendah diri, 
kami yang kerdil dan hina ini memohon doa dengan penuh pengharapan kepadaMu Ya Allah… 
Semoga Engkau sudi mendengar permintaan kami, kerana sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Mendengar.

Ya Fattahu Ya ‘Alim…
Ajarkanlah kami yang lemah ini untuk melihat jalan keluar dari semua masalah yang membelenggu kami, bukakanlah hijab kepada kami yang tak mampu melihat setiap kebaikan pada kejadian dan takdirmu. 
Ya Allah..takdirkanlah yang baik-baik untuk diri kami, janganlah kau menguji kami pada apa yang tidak mampu kami lalui.. Bukakanlah pintu-pintu rahmatMu untuk kami Ya Allah…

Ya Allah Rabbul Jalil….
Sejahterakanlah untuk kami dengan kesihatan yang baik supaya dengannya kami dapat beribadah kepadaMu. 
Ya Allah..ampunkanlah segala dosa kami, kerana kami terlalu banyak dosa kepadaMu Ya Allah…
Kami lupa akan Engkau ketika sihat, kami ingat padaMu bila ditimpa sakit, kami lupa kepadaMu ketika senang, kami ingat kepadaMu bila datang kesusahan. Kami lupa kepadaMu disaat kami gembira, kami ingat kepadaMu ketika sedih dan kecewa, kami habiskan usia muda dengan keseronokan dunia, kami mula mengingatiMu ketika usia sudah tua.
Justeru Ya Allah…ampunilah semua dosa kami..berilah kekuatan kepada kami utk melawan hawa nafsu dan dunia yang sentiasa melalaikan kami daripada mengingatiMu Ya Allah…

Ya Allah…Ya Rahman..Ya Rahim…
Ampunkanlah dosa kedua ibubapa kami...Kami memohon agar setiap titik susu ibu yg mengalir dalam diri kami…kau gantilah dengan kebajikan untuknya yang boleh membawanya ke SyurgaMu, Ya Allah....

Ya Allah...Ya Rahman…Ya Rahim...
Setiap keringat yang mengalir pada tubuh ayah kami dalam mencari rezeki kepada keluarga kami…
Kau gantikanlah dengan keampunan yang membawa ke syurgaMu Ya Allah. 
Sesungguhnya pengorbanan mereka tidak akan mampu kami membalasnya. Bahkan terkadang mereka hidup dalam kesusahan dan kesempitan, sedangkan kami berada dalam kesenangan dan kemewahan…Justeru kurniakanlah kepada kedua ibubapa kami tempat yg istimewa di SyurgaMu Ya Allah…..

Ya Allah….
Kami juga memohon ampun untuk kaum kerabat kami, sahabat-sahabat kami dan guru-guru kami yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kami ke alam barzakh…golongkanlah mereka dalam golongan orang yang Engkau redai…
Apabila tiba pula giliran kami menuju ke alam barzakhMu..maka Kau ambillah kami dalam keadaan yang baik-baik…di dalam keampunan dan rahmatMu Ya Allah…

Ya Allah Ya Azizz…
Kurniakanlah kepada kami jiwa yang tenang dan tenteram…hiasilah hati kami dgn sifat syukur, reda, sabar, ikhlas, amanah dan bertanggungjawab…Kau jauhkanlah daripada kami sifat ujub, riak, takabur, fitnah, mengadu domba, bersangka buruk dan khianat.

Ya Rashid…Ya Rahman…Ya Rahim..
Jika ada dalam kalangan kami mereka yg diuji dengan kesusahan, maka kau bantulah mereka, permudahkanlah urusan mereka, jika ada dalam kalangan kami mereka yang bersedih hati, berikanlah ketenangan dan jalan keluar kepada mereka, jika ada dalam kalangan kami sedang berhajat dengan keperluannya, maka tunaikanlah hajat mereka dan cukupkanlah keperluan mereka. Jika ada dalam kalangan kami mereka yang diuji dengan sakit, maka kau sembuhkanlah mereka Ya Allah…agar mereka dapat beribadah bersama kami. Jika ada dalam kalangan kami mereka yang derhaka kepada ibubapa atau terkurang dalam melayani mereka, maka kau ampunilah mereka, jadikanlah kami anak-anak yang taat dan berbakti... 
Sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Mendengar dan Mengasihi…Ya Allah Ya Malikal Mulk…

Ya Razak..Ya Fattahu Ya ‘Alim…
Kurniakan kepada kami rezeki yang halal lagi diberkati dan jadikanlah dengan rezeki itu yang Kau limpahkan itu agar kami semakin dekat denganMu... 
Sebaliknya, janganlah kau jadikan kami daripada golongan yang lupa diri setelah mendapat segala nikmat kurniaannMu.

Ya Allah….
Bantukanlah kami dalam menjalankan urusan agama kami, perelokkanlah urusan dunia kami, yang padanya tempat kami mencari kehidupan, perelokkanlah urusan akhirat kami, yang padanya tempat kami akan kembali untuk selama-lamanya... 
Jadikanlah kehidupan kami ini sebagai tambahan segala kebaikan kepada kami dan jadikanlah kematian sebagai ketenangan kepada kami dari segala kejahatan, 
Sesungguhnya kami ingin kembali kepadaMu di dalam keadaan jiwa yang tenang….Ya Allah Ya Zal Jalali Wal Ikram…

Ya Allah….Janganlah Kau jadikan Ramadan ini sebagai yang terakhir buat kami, temukanlah kami dengan Ramadan yang akan datang…
Tetapi.....Andaikata ini Ramadan terakhir buat kami, jadikankanlah puasa kami sebagai puasa yang Kau rahmati, jadikanlah Ramadan ini paling bererti, penuh dengan cahaya iman, menerangi kegelapan hati kami menuju reda serta kasih sayangMu Ya Allah…

Ya Allah...Jadikanlah Ramadan ini sebagai penghapus dosa-dosa kami.. 
Ya Allah…Temukanlah kami dengan Lailatul Qadar…
Pilihlah kami dalam kalangan hambaMu yang dapat beramal di malam al-Qadar….
Ya Allah...Terimalah amalan kami..Terimalah taubat kami...
Ampunkanlah segala dosa kami…Amankanlah kehidupan kami di alam sana nanti yang kekal abadi… Kurniakanlah kepada kami SyurgaMu yang maha luas nikmatnya…

Amiin… Ya Rabbal ‘Alamiin...

Sumber: Facebook

Terima Kasih Daun Keladi...
Kerana Sudi Bertandang Ke sini...

Zhai Jian! :D

Previous Post Next Post