PENANGGUHAN AKTIVITI LUAR SEMASA CUACA PANAS | RUMUSAN SESI LIBAT URUS BERSAMA-SAMA KPM 3 MEI 2023

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera buat semua...

Mutakhir ini cuaca di negara kita agak panas dan boleh memberi kesan yang tidak baik untuk kesihatan kita. Cuaca ini juga tidak membolehkan aktiviti luar terutamanya yang melibatkan aktiviti di luar bilik darjah seperti kokurikulum dijalankan. 
Justeru itu, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan surat siaran yang berkaitan dan telah mengadakan sesi libat urus penangguhan aktiviti luar semasa cuaca panas untuk diambil tindakan oleh pihak sekolah. 
Sesi libat urus penangguhan aktiviti luar semasa cuaca panas yang dilaksanakan pada 3 Mei 2023 telah membuat rumusan sebagaimana di bawah:

1. Semua aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan serta-merta tanpa mengira suhu persekitaran sekolah sehingga tarikh yang akan dimaklumkan nanti. KPM akan mengeluarkan surat pekeliling ikhtisas/ surat siaran pemakluman dalam masa terdekat.

2. Program/aktiviti agensi luar yang melibatkan murid dan dilaksanakan di luar bilik darjah juga ditangguhkan.

3. Perhimpunan di kawasan/tapak perhimpunan yang tidak berbumbung tidak dibenarkan.  Sekiranya perhimpunan di dalam dewan, jangka masa perhimpunan mesti disingkatkan dan murid tidak bersesak.

4. Aktiviti @ program di dewan terbuka dibenarkan selagi tidak sesak dan tidak mendatangkan kemudaratan kepada pengguna khususnya murid dan guru.

5. Aktiviti riadah petang di kawasan terbuka bagi murid di asrama juga ditangguhkan.

6. Aktiviti atau program di dalam dewan dibenarkan dengan kawalan kapisiti murid yang tidak terlalu sesak.

7. Lawatan sambil belajar yang telah dirancang dan melibatkan murid boleh diteruskan sekiranya tempat lawatan adalah di dalam premis (bangunan) tempat yang dilawati. Sekolah digalakkan mengubah suai aktiviti/program untuk dijalankan dalam dewan sahaja.

8. Aktiviti outdoor yang melibatkan guru dan kakitangan sekolah juga tidak digalakkan.

9. Aktiviti PSKPP guru yang diadakan dalam dewan atau tempat tertutup dibenarkan.

10. Murid, guru dan kakitangan sekolah dibenarkan/digalakkan memakai kemeja-t sukan yang selesa selagi tidak mencolok mata atau berpakaian yang sopan, bertatasusila dan tidak mempunyai logo atau perkataan yang tidak sesuai. Tiada arahan jenis kemeja-t sukan yang ditetapkan oleh pihak sekolah.

11. Pihak sekolah hendaklah membuat laporan segera menggunakan format 1:3:7 sekiranya terdapat murid yang dikenal pasti mengalami stroke haba.

12. Pihak sekolah boleh terus menggalakkan murid dan guru mengambil air kosong atau minuman yang lebih kerap mencukupi sepanjang hari dalam bilik darjah atau semasa melakukan aktiviti.

13. KPM dan KKM menegaskan kepada semua warga pendidik agar mengambil tindakan untuk mengelakkan diri dari terdedah kepada cahaya matahari dalam jangka masa yang panjang.

14. Surat Pekeliling Ikhtisas dan Surat Siaran yang telah diedarkan oleh KPM mengenai suhu panas dan jerubu baru-baru ini hendaklah disebar luaskan kepada semua sekolah dan difahami oleh pentadbir dan seluruh warga sekolah.






Sama-samalah kita menjaga kesihatan kita di kala ini dengan mengamalkan minum air masak dan sentiasa mendapatkan info-info berkaitan penjagaan kesihatan ketika cuaca panas bagi mengelakkan berlakunya 'stroke' haba.



Terima Kasih Daun Keladi...
Kerana Sudi Bertandang Ke sini...

Zhai Jian! :D

Previous Post Next Post