TAKABBUR ITU SOMBONG| Kenali sifat kegemaran Iblis laknatullah

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera buat semua...




Kenali ciri-ciri orang-orang yang sombong dan angkuh ini di akhirat kelak. 

Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يُحْشَرُ الْمُتَكَبِّرُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَمْثَالَ الذَّرِّ فِي صُوَرِ الرِّجَالِ يَغْشَاهُمْ الذُّلُّ مِنْ كُلِّ مَكَانٍ فَيُسَاقُونَ إِلَى سِجْنٍ فِي جَهَنَّمَ يُسَمَّى بُولَسَ تَعْلُوهُمْ نَارُ الْأَنْيَارِ يُسْقَوْنَ مِنْ عُصَارَةِ أَهْلِ النَّارِ طِينَةَ الْخَبَالِ

Maksudnya:

Daripada Amru bin Syu'aib dari ayahnya dari datuknya dari Nabi SAW bersabda:

"Orang-orang sombong dikumpulkan pada hari kiamat seperti semut bermuka manusia, mereka diliputi kehinaan dari segala penjuru, mereka diiring menuju penjara di neraka jahanam yang bernama Bulas, di atas mereka ada api paling panas, mereka diberi minum muntahan dan darah penduduk neraka yang namanya Thinatul khabal." (HR Tirmizi No: 2416/ hadis hasan) 

Gambaran sombong sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam hadis di atas ialah:

1.  Sombong adalah sifat Iblis yang merasa dirinya lebih hebat, lebih mulia dan lebih baik serta merendahkan orang lain.

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah: 34:

وَإِذۡ قُلۡنَا لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ ٱسۡجُدُواْ لِأٓدَمَ فَسَجَدُوٓاْ إِلَّآ إِبۡلِيسَ أَبَىٰ وَٱسۡتَكۡبَرَ وَكَانَ مِنَ ٱلۡكَٰفِرِينَ
Mafhumnya:

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir. 

2.  Orang yang sombong tidak akan masuk syurga kerana penghuni syurga tidak bersifat sombong.

Sabda Nabi Muhammad SAW:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ

Ertinya:
" Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong ". (HR Muslim No:51)

3.  Orang yang sombong akan dikumpulkan pada hari kiamat seperti semut bermuka manusia, mereka dilitupi dengan kehinaan dari segenap penjuru.

4.  Orang yang sombong akan diiringkan menuju ke neraka jahanam yang bernama Bulas, bahkan di atas mereka ada api paling panas.

5.  Orang yang sombong akan  diberi minum muntahan dan darah penduduk neraka (nanah) yang namanya Thinatul khabal (lumpur kebinasaan).

6.  Sikap yang sombong merupakan satu sikap yang amat dilarang keras dalam Islam. 

Firman Allah SWT di dalam Surah al-Israa’ ayat: 37: 

وَلَا تَمْشِ فِي الأرْضِ مَرَحًا إِنَّكَ لَنْ تَخرِقَ الأَرْضَ وَلَنْ تَبْلُغَ الْجِبَالَ طُولًا

Mafhumnya:
“ Dan janganlah engkau berjalan di muka bumi ini dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang ”.

Kata Buya Hamka: “Manusia itu berasal dari tanah, makan hasil tanah, berdiri atas tanah, akan kembali ke tanah. Kenapa masih bersifat langit???

Oleh itu, marilah kita bersifat dengan sifat-sifat yang mahmudah dengan menjauhi segala sifat-sifat yang mazmumah, termasuklah sifat yang sombong, bongkak dan takabbur itu. Sifat sombong itu berlaku apabila seseorang itu merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain bahkan dia juga akan gemar memperlekeh atau merendahkan orang lain.



Jom! Jadi orang baik-baik....Nescaya kita tidak akan rugi sedikitpun. InsyaAllah. 😉

#MalaysiaMadani
#kearahpendidikandigital
#thepowerofrespect


Terima Kasih Daun Keladi...
Kerana Sudi Bertandang Ke sini...

Zhai Jian! :D

Previous Post Next Post